Google

Friday, December 7, 2007

PANDUAN PERUSAHAAN CENDAWAN

Pendahuluan

Cendawan didefinasikan sebagai organ pensporaan kulat yang boleh dimakan. Ia mengandungi banyak protein,vitamin dan zat-zat galian seperti Kalium(K) dan Posforus(P) yang penting untuk kesihatan badan. Ia juga mempunyai rasa yang sedap. Selain daripada tumbuh semulajadi ,ada

  • beberapa jenis cendawan yang boleh ditanam dan dibiakan.Cendawan hidup dengan menumpang pada perumah seperti sisa tumbuhan atau bahagian
    tumbuhan yang telah reput dan menyerap zat-zat makanan daripadanya. Bentuk cendawan adalah pelbagai, tapi kebiasaanya ia mempunyai batang atau tangkai dan tudung yang berbentuk seperti payung
  • Jenis-jenis Cendawan

    t_-kelabu.jpg t_-kera.jpg

    Tiram Kelabu Telinga Kera

    t_-putih.jpg abolone.jpg
    Tiram Putih Abalone

    Proses Penanaman Cendawan

    PENYEDIAAN BEG CENDAWAN
    Bahan/Peralatan:

  • Habuk Kayu Getah
  • Dedak Halus
  • Kapur Pertanian
  • Beg Plastik (tahan panas, saiz 8.5cm x 35cm)
  • Gegelang PVC (panjang 2-3cm, garis pusat 3cm)
  • Surat Khabar Lama + Getah Pengikat
  • Cara:
    1.Gaulkan habuk kayu getah, dedak dan kapur pertanian pada kadar 100:10:1

    2.Campurkan air sehingga campuran habuk kayu lembab dan apabila dikepal tidak berderai.

    3.Masukkan campuran habuk kayu getah ke dalam beg plastik dan hentak sehingga padat.

    4.Pasangkan gegelang PVC dan tutup dengan penyumbat kapas atau ditutup dengan kertas surat khabar lama dan diikat dengan getah.

    bahan_tanaman_cend.jpg media_cend.jpg

    Peralatan penyediaan beg cendawan MediaCampuran

    gaul_media_cend.jpg siram_media.jpg

    Mengaulkan Campuran Media Mencampur-kan Air

    masuk_media_cend.jpg memasang_leher.jpg

    Masukkan Ke Dalam Beg Memasang Penutup

    PENGUKUSAN BEG CENDAWAN

    • Bahan/Peralatan:
    • Drum,Set Dapur Gas

    Cara:

    • Letakkan lapik (dari bata atau kayu dan dawai jaring) ke dalam tong drum setinggi 20cm.
    • Isikan air ke dalam tong drum bawah sedikit daripada pelapik tadi.
    • Susun menegak beg-beg cendawan yang telah siap ke dalam tong drum dan tutup rapat.
    • Kukus 5-6 jam.
    • Sejukkan sebelum disuntik benih.

    kukus_beg_cend.jpg pelapik.jpg

    Peralatan Mengukus Memasukkan Pelapik Ke Dalam Tong

    memasukkan-air.jpg susun_beg.jpg

    Isikan Air Menyusun Beg

    mengukus-beg.jpg keluarkan_beg.jpg

    Kukus 5-6 jam Sejukkan

    PENYUNTIKAN BENIH

    Bahan/Peralatan:

    • Benih Cendawan
    • Pencungkil Benih

    Cara:

    1.Penyuntikan benih ini hendaklah dilakukan di dalam keadaan bersih.

    2.Hancurkan benih cendawan dengan pencungkil.

    3.Buka mulut beg cendawan dan masukkan benih cendawan sebanyak satu sudu besar dan tutup kembali mulut beg cendawan.

    4.Susun beg cendawan secara menegak di tempat yang redup dan sejuk (terlindung dari
    cahaya matahari)

    5.Biarkan maisiliam tumbuh hingga memenuhi keseluruh beg cendawan (30-40 hari selepas disuntik benih).

    alat_suntik_benih.jpg basmi_kuman.jpg

    Peralatan Penyuntikan Benih Membasmi Kuman

    hancur_benih.jpg masuk_benih_cend.jpg

    Menghancurkan Benih Memasukkan Benih Dalam botol

    proses_geraman.jpg

    Membuat Catatan; Biarkan 30-40 hari

    MEMUNGUT HASIL

    1.Setelah maisilium memenuhi keseluruh beg cendawan, susunkan ke atas rak dengan cara merebahkannya.

    2.Buka mulut beg cendawan dan tunggu hingga hasil pertama keluar (2-4 hari selepas dibuka).3.Sembur air dengan percikan yang halus pada waktu pagi dan petang untuk meninggikan kelembapan dan merendahkan suhu.

    4.Pungut cendawan yang telah berkembang sebelum tepi kelilingnya menjadi berombak-ombak.

    5.Tutup kembali beg cendawan yang telah dipungut hasil dan tunggu hingga 7-10 hari untuk dibuka kembali.

    spot-running.jpg buka_tutup_beg.jpg pengeluaran-hasil.jpg

    Maisilium Kelihatan Tumbuh Menyusun Beg Memungut Hasil

    PENJAGAAN BEG CENDAWAN SEDIATUAI

    1.Baringkan beg cendawan di tempat yang lembab dan teduh.

    2.Rehatkan 7-10 hari, sambil itu siram bahagian luar beg,jika keadaan cuaca kering dan panas.

    3.Setelah 7-10 hari buka penutup beg cendawan dan biarkan 2-3 hari untuk pengeluaran hasil yang pertama. Jangan siram atau sembur air pada cendawan-cendawan kecil yang baru tumbuh. Biarkan ia membesar sehingga cukup mengembang (sebelum tepi cendawan berombak).

    4.Petik cendawan dengan cara menarik keluar kesemua rumpun cendawan.

    5.Bersihkan bahagian mulut beg cendawan dan sembur sedikit air. Tutup semula mulut beg

    6.Rehatkan selama 10 hari dan jalankan penjagaan seperti no.2 dan seterusnya.

    7.Hasil boleh dipungut sebanyak 5-6 kali bagi setiap beg cendawan.

    8.Beg-beg cendawan yang hendak dibuang boleh juga dipecah-pecahkan dan ditabur
    sekeliling pokok sebagai baja organan.

    PELIHARA IKAN KELI SECARA INTEGRASI DALAM SAWAH

    keli_1.jpg

    Pendahuluan

    Pengkulturan ikan di sawah secara tradisional telah diamalkan sejak turun temurun lagi, namun amalan ini telah ditinggalkan sejak penanaman padi dua kali setahun dan penanaman padi tabur terus diamalkan. Penggunaan varieti padi yang berhasil tinggi dan peka kepada serangan perosak tanaman telah mengakibatkan penggunaan racun perosak yang banyak dan berlebihan. Keadaan ini menjadikan sawah-sawah padi tidak lagi sesuai untuk kehidupan ikan air tawar.

    keli_2.jpg

    Kebaikan Pemeliharaan Ikan Keli

    Antara kebaikan utama pemeliharaan ikan keli di sawah ialah :

    1. Menambah pendapatan dan sumber protein dalam makanan.

    2. Sebagai agen biologi kawalan makhluk perosak sawah padi, di mana ikan-ikan keli ini akan memakan

    ulat/larva, cacing dan serangga yang terdapat di sawah.

    3 . Mengurangkan kos pengeluaran tanaman padi melalui pengurangan penggunaan racun perosak.

    4. Aktiviti membalik-balikkan tanah dengan mulut oleh ikan membantu mengawal pertumbuhan benih rumpai.

    5. Mengekalkan keadaan semula jadi ekosistem tanaman padi.

    Keperluan Kawasan Peliharaan

    Sawah yang dipilih perlulah rata dan yang mempunyai parit ladang serta sistem kawalan air sawah yang berkesan.

    Parit kecil berukuran 45 cm dalam dan 60 cm lebar dibina di setiap lot. Ia dibuat di keliling bahagian dalam sawah supaya ikan dapat dipindahkan ke parit ini semasa mengeringkan sawah. Parit buang yang terdapat berhampiran sawah dibersihkan. Dua kolam atau telaga kecil dibina di tempat air keluar sebagai tempat ikan berkumpul dan berlindung. Reka bentuk sistem pemeliharaan ikan di sawah padi ditunjukkan di dalam rajah 1.

    keli_3.jpg

    Jaring dipasang di punca air masuk dan keluar untuk mengelakkan ikan-ikan lain masuk ke dalam sawah dan ikan yang dipelihara keluar dari sawah. Jaring, contohnya jaring pukat di pasang setinggi 50 cm dan ditanam 10 cm dalam di sempadan projek/sawah untuk mengelakkan ikan melompat keluar dan untuk kawalan musuh/pemangsa seperti ikan haruan dan katak.

    Pelepasan

    Jenis ikan yang disyorkan adalah dari kacukan ikan keli Afrika (Clarias gariepinus) dan ikan keli bunga (Clarias macrocephalus).

    · Anak ikan keli berukuran 7.5 cm panjang (berumur 5 minggu ) dilepaskan terus ke dalam sawah padi di mana paras air ialah 7.5 - 10 cm iaitu 15 - 21 hari selepas padi ditabur. Sebanyak 3000 - 4000 ekor anak ikan dilepaskan dalam sehektar sawah. Pelepasan dibuat pada awal pagi atau petang.

    · Anak-anak ikan yang bersaiz 2.5 cm panjang tidak dilepaskan tems ke dalam sawah, tetapi dilepaskan ke dalam sangkar untuk diasuh. Saiz sangkar berukuran 1.2 m x 0.9 m (satu hektar memerlukan dua sangkar). Sebanyak 4000 ekor dilepaskan ke dalam satu sangkar. Anak-anak ikan ini diberi makan dedak halus dua kali sehari iaitu 400 gram sehari untuk satu sangkar. Selepas anak ikan berukuran 5 - 7.5 cm panjang, sangkar dibuang dan anak-anak ikan bebas di dalam keseluruhan petak sawah. Pada masa ini tiada makanan tambahan diberi. Anak-anak ikan keli,ini memakan apa sahaja makanan yang ada di dalam petak sawah. Paras air sawah perlu dikekalkan pada kedalarnan 10– 15 cm dan perlu bebas daripada bahan-bahan toksik.


    Hasil

    Hasil mula dikutip selepas 60 - 70 hari ikan dilepaskan di sawah, di mana ikan keli telah mencapai purata berat 200 - 250 gram seekor. Pada masa ini padi berada di peringkat bunting/hampir terbit. Air dikeluarkan ke parit buang dan ikan ditangkap dalam sangkar/kolam yang disediakan. Setelah itu air dimasukkan semula ke dalam sawah. Kutipan hasil boleh dibuat berperingkat-peringkat bergantung kepada permintaan/ pasaran. Setelah padi di peringkat berisi penuh, air sawah dikeringkan. Ikan dialirkan ke dalam parit buang/kolam.
    Daripada jumlah keseluruhan anak ikan yang dilepaskan, dianggarkan 20 % akan mati disebabkan masalah penyesuaian ternpat dan dimakan musuh seperti burung dan ikan haruan. Oleh itu anggaran hasil ialah 2,400 ekor. Dengan keberatan 200 gram sekor, ini menjadikan hasil keseluruhan ialah 480 kilogram. Pada harga jualan RM 3.00/kg, jumlah hasil dianggarkan bernilai RM 1440. Keuntungan kasar setelah ditolak kos iaitu RM 650 [yang terdiri daripada anak ikan (RMO.20/ekor), dedak dan jaring (RM 50)] dianggarkan bernilai RM 790.

    Panduan Menternak Rusa

    Rusa adalah sejenis hidupan liar yang mendapat perlindungan khas daripada Kerajaan Malaysia. Kerajaan menggalakkan pemeliharaan rusa memandangkan permintaan untuk rusa yang amat baik. Disamping dagingnya sebagai sumber protein yang tinggi, ia juga mengandungi lemak yang kurang dan kalori yang rendah, kulit dan tanduknya berguna untuk barang hiasan. Bagi rusa jenis Cervus Timorensis ini tanduk awal dan velvet boleh digunakan untuk dijadikan ubat.

    Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang telah mula memelihara hidupan ini secara terkawal pada tahun 1989 . Sebagai permulaan sebanyak 19 ekor rusa (Cervus Timorensis) dan 3 ekor jantan umur 6 bulan telah diimpot dari Kepulauan Mauritius. Disamping rusa jenis Cervus Timorensis ladang ini juga telah menempatkan rusa jenis sambar dan jenis Axis-axis.

    Kawasan seluas 2 hektar telah diperuntukan bagi memelihara rusa ini. Ladang ini terletak di Pokok Sena Daerah Seberang Perai Utara. Ladang ini ditanam dengan rumput jenis Boachiara Humidicola, Panicum Maximum (Rumput Guinea) dan Leucaena leucocephala (petai belalang).

    Setelah beberapa tahun memelihara hidupan ini pertambahan dari segi pembiakan amatlah menggalakkan. Kini jumlah rusa jenis Cervus Timorensis yang terdapat di Ladang rusa di Pokok Sena adalah lebih kurang sebanyak 60 ekor dan rusa jenis Axis-axis lebih kurang 50 ekor.

    Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang akan membuat promosi jualan daging rusa pada setiap tahun iaitu pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dan juga semasa Sambutan Eskpo Usahawan Bumiputra di Pulau Pinang.

    TUJUAN PEMELIHARAAN:

    • *Sebagai rekreasi dan kegemaran
    • *Sebagai tindakan mencegah kepupusan
    • Untuk Kajian bagi mengenalpasti potensi
    • Sebagai sumber pendapatan dari hasil daging, tanduk, kulit dan sebagainya
    • Sebagai makanan enak
    • Sebagai Perhiasan

    INFRASTRUKTUR LADANG

    Alam persekitaran dan topografi yang sesuai dengan tabiat semulajadi dan panduannya dengan Sistem Pemeliharaan Moden.

    Tabiat

    Rusa sangat gemar kepada kawasan yang sunyi dan didalam suasana persekitaran semulajadi. Rimba yang redup lagi sunyi dan udara yang nyaman dan dingin, makanan rumput, dedaun dan dedak adalah menjadi kegemaranya dan makanannya. Air sungai, parit adalah perlu untuk rusa-rusa ini berkubang.

    Perhubungan yang rapat di antara haiwan ini dengan manusia perlu diujudkan dengan pembinaan pondok kecil dan penyediaan makanan ditempat¬-tempat yang tertentu

    Rusa gemar berjalan ditepi-tepi pagar dan jarang berada ditengah padok. Oleh yang demikian di dapati rumput ditepi-tepi pagar (lebih kurang 4 kaki dari tepi pagar) semuanya mati akibat di pijak oleh rusa-rusa tersebut kerana menjadi tempat laluan ternakan ini.

    Pokok-pokok yang besar dan rendang hendaklah disimpan dan pokok yang boleh menjadi sumber makanan jangan ditebang dan perlulah ditanam. Walaubagaimanapun perlu diingatkan bahawa sebarang tanaman yang baru ataupun batang pokok ini hendaklah dibalut kerana ianya akan musnah akibat tabiat rusa yang suka menggigit kulit pokok atau mengesel batang-batang pokok dengan tanduknya.

    Rusa suka berkubang, maka tempat untuk berkubang dan berendam perlu dibina didalam padok

    Sebagai panduan untuk simpanan rusa “carrying capacity’ adalah pada kadar 10 ekor bagi satu ekar dengan keadaan rumput yang baik

    Mempunyai kemudahan kawalan dan penyelenggaraan

    Pagar Sekeliling

    Keseluruhan kawasan seluas 2 ha dipagar sekeliling dengan menggunakan kawat jaring setinggi 2 meter dan dipasang dengan tiga lapis dawai berduri di sebelah atas dan pagar ditanam didalam konkrit setinggi 1 kaki .


    Kawasan ragutan dan makanan

    Makanan yang cukup sangat penting untuk menjamin kesihatan rusa. Untuk itu pedok-pedok hendaklah mempunyai rumput yang baik lagi bermutu sepanjang masa. Makanan tambahan iaitu dedak hendaklah diberi. Diladang Rusa, Pokok Sena diberi dedak Cattle Pellet memandangkan ia sesuai untuk ternakan rusa.


    Pedok Kawalan

    Keseluruhan kawasan dibahagi kepada 4 petak-petak kecil seluas 0.5 ha bagi memudahkan ragutan secara bergilir-gilir. Pedok kawalan atau holding yard juga perlu bagi memudahkan pengawasan yang rapi terhadap rusa-rusa. Pedok ini adalah merupakan pusat untuk mengumpulkan ternakan dan ianya mestilah mempunyai pintu hubungan dengan semua pedok ragutan dan juga rumah gelap

    Rumah Gelap

    *Sebuah rumah gelap perlu dibina dimana terdapat tempat pasongan atau trevis.
    *Dinding rumah dibina daripada separuh papan lapis yang tebal dan separuh konkrit dan bahagian dalam dan luar dicat hitam.
    *Dalam rumah disiapkan dengan pintu-pintu yang boleh berputar 360 digri bagi memudahkan penangkapan seseekor rusa untuk diperiksa, diberi rawatan atau dipindahkan.
    *Didalam rumah gelap rusa akan kelihatan tenteram dan cahaya yang diperlukan hanya cukup sekadar boleh melihat ruda dan boleh dibuat rawatan.
    *Lantai tidak berkonkrit menggunakan pasir (Quarry Dust)
    *Mempunyai pintu railing 5 kaki lebar untuk tujuan memasukkan rusa dalam rumah gelap

    Bangsal Untuk Meletak Makanan

    Setiap pedok perlu disediakan bangsal yang berbumbung bagi meletak bekas makanan tambahan dan juga garam galian dan juga tempat rusa berteduh. Disetiap pedok juga perlu disediakan dengan takungan air bagi memastikan rusa memperolehi air minum yang bersih.

    Kolam Mandi

    Memandangkan perangai rusa yang suka berkubang terutama diwaktu panas, sebuah kolam mandi atau lopak/paya air bersih disediakan dengan dilengkapkan sistem aliran yang baik. Diladang ini dibina parit yang berkonkrit bagi tujuan tersebut.

    PANDUAN PENANAMAN TEMBIKAI

    Buah tembikai berbentuk bulat atau lonjong (oblong). Berkulit licin dan warnanya berbagai-bagai daripada hijau muda hingga hijau tua. Beberapa varieti mempunyai jalur. Isinya berwarna putih, kuning krim, merah pucat, merah atau merah tua. Isinya juga berjus dan rangup dan mengandungi 90% air. Biji biasanya berwarna hitam dan tertanam di dalam isi. Ada juga varieti yang tiada biji.

    Tembikai tumbuh pada batang menjalar di atas tanah. Batang ini berbulu dan mempunyai sulur paut untuk memanjat. Daunnya bujur dengan pecahan cuping yang dalam. Pokok ini kebanyakannya didebungakan oleh lebah madu.

    Tembikai tumbuh dengan subur dalam iklim panas dan kering dan menerima banyak cahaya matahari. Tanah yang paling sesuai untuk tembikai ialah tanah yang tidak menakung air dengan pH 5.8-7.2.

    Di Malaysia tembikai banyak ditanam di negeri-negeri di pantai timur. Ia di tanam untuk kegunaan domestik dan eksport. Dalam tahun 2000, Malaysia mengeksport tembikai yang bernilai sebanyak RM60 juta. Empat pasaran eksport utama tembikai Malaysia ialah Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Brunei. Malaysia menduduki tangga ke 12 antara pengeluar tembikai dunia dan mempunyai 3.1% pasaran saham dunia.

    Tembikai biasanya dimakan segar atau diproses untuk dijadikan jus. Ada juga yang dipek di dalam tin atau kotak. Biji tembikai dijadikan snek sama seperti biji bunga matahari iaitu kuaci, yang kaya dengan karbohidrat dan lemak.

    Bentuk buah tembikai berjulat daripada yang bulat hingga bulat yang membujur. Warna kulit dari hijau muda hingga hijau tua dengan atau tanpa jalur. Warna isi boleh jadi merah tua, merah atau kuning.

    Varieti buah tembikai terbahagi kepada tiga kelas yang besar berasaskan bagaimana biji benih terbentuk: pendebungaan bebas, hibrid F 1 dan triploid (tanpa biji).

    Varieti pendebungaan bebas terbentuk melalui beberapa generasi pemilihan. Pemilihan berdasarkan hasil, ciri-ciri kualiti dan kerintangan terhadap penyakit. Varieti pendebungaan bebas mempunyai sifat sebenar akan jenisnya (biji benih daripada satu generasi ke generasi seterusnya akan mengekalkan ciri-ciri yang sama) dan lebih murah daripada varieti hibrid F 1

    Hibrid F 1 dibentuk daripada dua titisan seturunan yang telah menjalani pendebungaan sendiri untuk beberapa generasi dan kemudian dikacuk, biji benih yang dihasilkan dijual kepada penanam tembikai. Biji benih hibrid F 1 akan menunjukkan keseragaman dan masa menuai yang lebih baik berbanding dengan biji benih pendebungaan bebas. Ia juga menunjukkan peningkatan dalam pengeluaran hasil sebanyak 20-40% berbanding dengan varieti pendebungaan bebas yang ditanam dalam keadaan yang sama. Kelemahan di pihak hibrid F 1 ialah harganya yang 5-10 kali lebih tinggi berbanding dengan biji benih pendebungaan bebas dan kesediaadaan varieti hibrid F 1 berubah dar setahun ke setahun.

    Jenis yang ketiga ialah triploid atau tembikai tanpa biji. Jenis ini dibangunkan dengan mencipta tembikai yang mempunyai bilangan nombor kromosom dua kali ganda daripada tembikai biasa dan mengacukkannya dengan tembikai yang biasa. Tanaman yang dihasilkan mempunyai bilangan kromosom sebanyak 1½ kali ganda daripada bilangan nombor kromosom biasa. Oleh sebab nombor kromosomnya yang ganjil, biji benih yang berdaya hidup tidak dapat dihasilkan. Tambahan pula pokok tembikai begini hanya dapat menghasilkan debunga yang sedikit. Dengan itu, pokok tembikai biasa mestilah ditanam dengan tembikai triploid sebagai sumber debunga. Sungguhpun tembikai triploid tiada biji, ia sebenarnya bukanlah tiada biji tetapi bijinya tidak terbentuk dengan sempurna, lembut dan boleh dimakan. Biji benih triploid lebih mahal daripada biji benih hibrid F 1 dan buahnya seharusnya mendapat harga premium di pasaran.

    Varieti popular

    Berikut ialah senarai varieti tembikai dan ciri-cirinya yang dibekalkan oleh pembekal biji benih. Pemilihan yang berhati-hati terhadap varieti yang boleh diharapkan dan menyerlah ialah kunci kepada kejayaan dalam pasaran.

    Jadual 1. Senarai hibrid F 1 .varieti tembikai yang mempunyai biji

    Varieti / kultivar Ciri-ciri

    New Dragon

    Buah bulat membujur (oblong) agak seragam, sederhana hingga agak besar dan berat lebih kurang 9 kg. Isi merah, bertekstur halus, sangat manis dan biji perang tua. Kulit mempunyai jalur hijau muda dan tua yang nyata, tahan lama dan sesuai untuk eksport melalui jalan laut.
    Dark Belle or Hitam manis Subur, buah oblong, hijau gelap dengan jalur gelap. Kulit nipis tetapi kuat, sesuai untuk diangkut melalui jalan laut. Isi merah gelap, lembut dan berair, kandungan gula 12-14%. Berat antara 2.5-3.5 kg. Matang selepas 102 hari ditanam.

    Little Boy

    Jenis kecil atau tembikai ‘icebox’dengan rasa yang sangat enak. Buah oblong pendek dengan kulit hijau gelap dan jalur hijau yang lebih gelap yang nyata. Kulit nipis tetapi keras, sesuai untuk diangkut melalui jalan laut. Beratnya 3-4 kg. Isi merah tua , berjus, lembut mempunyai kandungan gula 12%. Matang selepas 102 hari ditanam.

    China Dragon

    Varieti yang sama dengan New Dragon. Daun kecil dengan cuping tajam yang beropol dan dalam. Amat produktif dan berputik dengan baik. Matang agak awal iaitu 80 hari selepas menanam (95 hari selepas menyemai). Bentuk sedikit oblong. Mempunyai kulit berjalur yang nyata. Berat lebih kurang 12 kg. Isi merah, pejal dan sangat manis. Biji kecil dan hitam.

    Early Klondike

    Mempunyai kualiti isi dan kemanisan yang lebih baik. Sesuai untuk penghantaran jarak jauh menggunakan kapal laut. Berat lebih kurang 12 kg, berbentuk oblong dengan kulit hitam-hijau. Isi merah tua. Matang selepas 97 hari disemai.

    Red Delicious

    Buah kecil dan oblong, lebih kurang 2 kg. Rupa menarik dengan warna hijau yang seragam. Isi merah terang, lembut berjus, amat manis dan biji nya berwarna perang. Kulit nipis tetai keras. Matang selepas 90 hari disemai.
    Golden Crown Buah seragam, oblong saiz ‘icebox’, berat lebih kurang 2.5 kg dengan isi merah yang sangat cerah. Kemanisan lebih kurang 12% kandungan gula. Kulit sangat nipis tetapi kuat yang membolehkan ia diangkut melalui jalan laut.

    Funbell

    Tembikai ‘icebox’ yang sesuai pada pelbagai jenis tanah. Isi merah jambu, manis dan berjus. Buah bulat dan berat di sekitar 2 kg. Mudah mengenali kematangannya kerana jalur buah berubah daripada hijau kepada kuning. Buah matang selepas 80 hari disemai. Kulit kuning dengan jalur yang lebih cerah. Biji warna hitam perang yang sederhana.

    New Orchid

    Subur dan membiak dengan baik. Buah oblong. Berat lebih kurang 3 – 4 kg. Kulit hijau dengan jalur hijau gelap. Isi oren kuning, bertekstur halus dengan kandungan gula 12%. Amat sesuai diangkut melalui jalan laut.

    Full Orchid

    Subur dan membiak dengan baik. Berat lebih kurang 3 –5 kg. Kandungan gula 12%. Kulit kuat dengan jalur cerah yang nyata. Varieti yang berbuah awal, isi kuning. Buah seragam, jarang retak walaupun ditanam dalam keadaan suhu yang tinggi.

    Yellow Baby

    Berbuah awal, rasa manis, sedikit biji berbanding dengan tembikai ‘icebox’ yang lain. Warna isi kuning nanas. Diameter buah 15 cm, berat 4 kg. Kulit hijau muda dengan jalur hijau gelap, nipis tetapi kuat.

    Jadual 2. Senarai tembikai triploid, varieti tiada biji

    Varieti / kultivar Ciri-ciri
    Favorite Ball Mencapai kematangan awal pada 95 hari selepas disemai. Tumbuh subur. Buah berbentuk glob. Kulit hijau dengan jalur hijau tua yang lebar. Berat lebih kurang 6-12 kg dan tahan lama. Isi merah, berjus dan enak dan boleh disimpan dengan baik.

    All Lucky No 2

    Mencapai kematangan awal pada 95 hari selepas disemai. Tumbuh subur. Buah berbentuk glob Berat lebih kurang 7-8 kg. Kulit hijau muda dengan jalur hijau tua. Kandungan gula 12%. Isi merah terang, berjus dan enak dan jarang yang ada ‘hollow heart’.

    Prosperity

    Matang 95 hari selepas disemai. Buah bulat seperti glob dengan kulit hijau tua, berat lebih kurang 6 kg. Kulit nipis dan mempunyai kualiti penghantaran melalui jalan laut yang baik. Isi merah terang dan kurang mengalami ‘hollow heart’. Amat berjus dengan kandungan gula 12-15%. Kualiti yang amat memuaskan.

    Quality

    Kulit biru hijau dengan jalur hijau gelap dan tahan lama. Isi lembut, berjus dan rasa yang lebih baik. Baik dari segi pengangkutan dengan kapal laut dan penyimpanan. Berat lebih kurang 7.5 kg. Amat subur dan produktif. Matang 97 hari selepas disemai.

    Mindful (triploid)

    Subur dan berputik dengan baik. Buah bulat, bentuk seragam dan berat lebih kurang 5-7 kg. Kulit hijau kebiru-biruan yang cantik dengan jalur hijau gelap yang halus. Isi merah terang dengan kandungan gula 12%. Isi pejal, rasa sedap dan jarang mengalami ‘hollow heart’. Amat baik untuk penghantaran melalui laut dan penyimpanan. Matang selepas 97 hari disemai.

    Keterangan botani

    Pokok

    Pokok tembikai ialah pokok menjalar yang batangnya berdaun serta mempunyai sulur paut. Akarnya cetek (40-50 cm) dan (60-90 cm) lebar. Batang jalarnya berbulu, berbentuk sama ada bulat atau bersegi. Sulur paut, daun dan bunga muncul daripada satu titik di bahagian batang.

    Daun
    Daun tembikai berbentuk oval, bercuping yang dalam dan lebih kurang 10-20 cm panjang.

    Bunga

    Bunga tembikai daripada jenis monosius, i.e. bunga jantan dan bunga betina terdapat pada satu pokok yang sama. Setiap kuntum bunga lebarnya 1.5-2.0 cm dan berwarna kuning sulfur. Kadang-kadang ada juga bunga hermafrodit. Bunga keluar di antara daun dan didebungakan oleh serangga.

    Buah

    Buah tembikai berbentuk bulat atau oblong. Kulitnya licin. Berat yang standard ialah antara 7 dan 15 kg. Varieti baru dari Taiwan saiznya kecil (4-6 kg/biji). Warnanya pelbagai daripada hijau muda hingga hijau tua dan berjalur. Isinya boleh jadi putih, kuning krim, merah pucat, merah atau merah pekat. Bijinya kecil dan tertanam di dalam isi. Panjangnya lebih kurang 5-15 cm dan boleh berwarna putih, hitam, perang, kekuning-kuningan dan merah jambu.

    Pertumbuhan dan pembentukan

    Panjangnya tempoh pertumbuhan berjulat dari 80 hingga 110 hari, bergantung pada iklim. Tempoh pembesaran lebih pendek dalam iklim tropika iaitu 70-95 hari bergantung pada varieti.

    Peringkat pembentukan
    Peringkat pertumbuhan Pertumbuhan vegetatif permulaan (penubuhan) Pertumbuhan vegetatif akhir (Merayap atau peringkat menjalar) Pertumbuhan pembiakan permulaan (Pembungaan dan pengeluaran putik) Pertumbuhan pembiakan akhir (Pembentukan buah dan kematangan) Jumlah
    Tempoh peringkat (hari) 10-20 20-30 10-15 30 70-95

    Penuaian biasanya bermula 30 hari selepas berbunga sepenuhnya dan boleh berterusan selama beberapa minggu.

    Ekologi

    Tembikai tumbuh dengan baiknya dalam cuaca yang panas, kering dengan suhu harian 22-30 °C dan cahaya matahari yang cukup. Suhu maksimum dan minimum untuk pertumbuhan masing-masingnya ialah 35 °C dan 18 °C. Suhu tanah yang optimum untuk pertumbuhan akar ialah dalam julat 20-35 °C. Buah yang membesar dalam keadaan panas dan kering mengandungi kandungan gula yang tinggi iaitu 11% berbanding dengan 8% pada buah yang membesar dalam keadaan sejuk dan lembap. Jumlah hujan yang optimum ialah 250 mm atau kurang. Kebanyakan tanah yang bersaliran baik , sama ada tanah liat atau berpasir, boleh diurus untuk menghasilkan pengeluaran tembikai yang baik. Tanah yang terbaik ialah tanah lom berpasir yang tidak menakung air dengan pH 5.8 hingga 7.2.

    Asal dan sejarah

    Sudah berabad lamanya manusia di seluruh dunia menggemari tembikai. Orang Mesir telah menanam tembikai 5,000 tahun yang lalu, mereka menghiasi lukisan dinding dengan buah tembikai. Dari Mesir kepopularan tembikai berkembang. Pedagang mula menjual biji tembikai di sepanjang laluan dagangan Mediterranean. Pada abad ke 10 tembikai telah sampai ke negara China dan pada abad ke 13 pedagang Moor memperkenalkan tembikai ke Selatan Eropah. Kolonis Eropah dan hamba abdi Afrika perlu diberi pujian kerana membawa tembikai ke Amerika Utara. Varieti tembikai moden datangnya daripada tembikai semula jadi Afrika Citrullus lanatus. Ia ditanam beratus tahun di Lembah Nil. Spesies ini masih hidup liar di kawasan pendalaman yang kering untuk membekalkan air kepada orang asli semasa musim kemarau. Tembikai liar atau ‘citron’ di Afrika berbentuk sfera, berjalur dan isinya putih, sedikit pahit atau tawar. Isinya yang putih rasanya seperti kulit tembikai biasa. ‘Citron’ juga disebut ‘tembikai jeruk’ kerana kulit buah digunakan dalam pengawet, jeli dan dibuat jeruk atau jem. Oleh sebab kandungan pektinnya yang tinggi ia ditambah ke dalam jus buah-buahan untuk menjadikan ia seperti jel lebih cepat. Sebatang pokok tembikai boleh menghasilkan sehingga 100 biji buah, dan biasanya diberi makan kepada ternakan.

    Di Malaysia tembikai pertama kalinya ditanam di Kelantan dalam tahun 1940. Daripada situ, ia mula berkembang hinggalah pengenalan tembikai hibrid dari Taiwan dan Jepun pada tahun 70-an.

    Tembikai biasanya ditanam di Kedah, Johor, Terengganu dan Kelantan. Kini penanamannya berkembang hingga ke negeri Pahang, Melaka dan Perak.

    Dalam tahun 1994 keluasan penanaman tembikai meliputi 5,100 hektar dengan pengeluaran sebanyak 214,000 tan metrik. Dalam tahun 2000 keluasan penanaman meningkat kepada 6,500 hektar.

    Di Semenanjung Malaysia tembikai di tanam di Alor Gajah, Bachok, Besut, Gua Musang, Jasin, Jeli, Johor Bahru, Kluang, Kota Bharu, Kota Star, Kota Tinggi, Kuala Kerai, Kuala Terengganu, Kubang Pasu, Langkawi, Macang, Marang, Melaka Tengah, Mersing, Padang Terap, Pasir Mas, Pasir Putih, Pendang, Perlis, Pokok Sena, Port Dickson, Rembau, Rompin, Setiu, Tanah Merah dan Tumpat.

    Keluasan penanaman tembikai di Semenanjung Malaysia (hektar)

    Negeri Ha
    Kelantan 810
    N. Sembilan 36
    Pulau Pinang 13
    Perlis 101
    Terengganu 744

    Di Sabah tembikai ditanam di Tawau, Sandakan, Tuaran dan Papar.

    Pembiakan

    Biji tembikai boleh ditabur terus di ladang atau disemai di dalam beg plastik sebelum diubah ke ladang. Biasanya, kaedah tabur terus diamalkan semasa musim kering dan biji untuk diubah ke ladang ditanam dalam musim hujan.

    Tabur terus

    Biji benih direndam semalaman sebelum ditanam. Dua hingga 3 biji benih ditanam dalam setiap lubang sedalam lebih kurang 2.5 cm. Jumlah biji benih yang diperlukan (biasanya 1.2-2.5 kg/ha) bergantung pada saiz biji, percambahan dan jarak tanaman. Biji yang sah berlabel, seragam, bebas daripada penyakit dan biji benih diperakukan 85-90% percambahan menjadi pilihan. Selepas hampir 14 hari atau apabila anak pokok mempunyai 3-4 helai daun, anak benih ini dijarangkan iaitu meninggalkan satu batang pokok yang sihat di dalam satu lubang penanaman.

    Gambar 1: Anak pokok yang sihat daripada tanam terus

    Pengubahan

    Kelebihan pengubahan anak pokok tembikai:

    * Kecekapan penggunaan biji benih meningkat, sangat penting dengan biji benih hibrid dan triploid kerana harganya sangat mahal

    * Tanah berkerak atau terlalu kering dan tanah yang lembap menjejaskan pertumbuhan anak pokok, boleh dihilangkan atau dikurangkan.

    * Kedalaman penanaman lebih seragam.

    * Hasilnya dilihat pada penuaian awal.

    * Hanya cara yang berkesan kos untuk menanam tembikai tanpa biji

    Kelemahan pengubahan termasuklah:

    * kos berubah lebih tinggi,
    * kos buruh meningkat,
    * anak pokok tembikai yang rapuh mudah patah semasa pengubahan.

    Biji benih disemai di dalam beg plastik yang berisi tanah yang sudah dicampur dengan tahi ayam. Beg ini ditutup dengan helaian politena jernih dan diletakkan di bawah teduhan. Ia akan bercambah dalam masa3-4 hari dan sedia untuk diubah dalam masa lebih kurang 11-12 hari. Jarak penanaman ialah 2.5-6 m antara baris dan 1m antara anak pokok.


    Gambar 2. Dulang plastik boleh digunakan untuk mencambahkan pokok

    Kerosakan pengendalian semasa pengubahan boleh berlaku pada anak pokok aras tanah. Bahagian atas anak pokok akan mudah melentur dan menjadi layu. Sebagai tambahan warna perang atau tisu kalus akan muncul pada aras tanah. Bagi mengatasi masalah ini daripada kerosakan yang lebih teruk, anak pokok hendaklah ditanam lebih dalam ke dalam tanah.

    Penanaman

    Tembikai hendaklah ditanam di ladang yang tanahnya rata dan sedikit beralun yang tidak cenderung kepada air bertakung atau banjir. Ia tidak boleh ditanam secara berterusan di tanah yang sama bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah. Kesediaadaan sumber air untuk pengairan amat genting Kebanyakan tanah yang baik salirannya , sama ada tanah liat atau tanah berpasir, boleh diurus untuk menghasilkan tanaman tembikai yang baik.

    Penanaman di atas batas amat disyorkan bagi mengurangkan kerosakan oleh banjir kilat. Sistem saliran yang baik diperlukan

    Penyediaan tanah melibatkan satu atau lebih pelaksanaan operasi peningkatan kualiti tanah dan penyuburan anak pokok:

    1. menjadikan tanah lebih sesuai untuk pertumbuhan biji benih dan anak pokok (atau pengubahan)

    2. meningkatkan produktiviti dengan membekalkan struktur tanah yang terbaik untuk pertumbuhan dan pembesaran akar berikutnya, dan

    3. membantu mengawal masalah penyakit.

    Beberapa operasi diperlukan dalam penyediaan tanah untuk penanaman. Ini sebahagiannya ditentukan oleh sejarah penanaman sebelumnya. Tanah yang sudah digunakan untuk penanaman selama beberapa tahun mungkin menjadi lapisan keras beberapa inci di bawah permukaan tanah. Keadaan ini menjadi masalah pada tanah liat.

    Pertumbuhan akar menjadi terbantut oleh tanah yang mampat. Penyediaan tanah yang betul perlu menghapuskan atau mengurangkan keadaan tanah yang mampat. Kajian baru-baru ini telah mendapati bahawa pertumbuhan akar tembikai terhad kepada tanah yang tidak mampat sahaja

    Amalan penanaman

    Merumpai

    Kejayaan pengurusan rumpai amat penting bagi pengeluaran tembikai yang berkualiti. Rumpai bersaing dengan tanaman untuk mendapatkan cahaya, ruang, nutrien dan air. Pertumbuhan rumpai menimbulkan masalah penyakit dan boleh menjadi perumah kepada serangga perosak dan penyakit. Seperti tanaman lain, tembikai memerlukan kawalan rumpai lebih awal bagi memastikan tanaman yang berkualiti. Sebagai tambahan, tabiat pokok ini yang merebak menyebabkan rumpai sukar dikawal terutamanya apabila batangnya mula menjalar.


    Gambar 1. ladang tembikai yang bersih

    Pengenalpastian rumpai, terutamanya pada peringkat anak benih amat penting. Anak benih ini biasanya mudah dikawal dan dalam banyak kes kawalan dapat dilakukan semasa peringkat anak benih lagi.

    Satu lagi faktor penting ialah pertumbuhan tanaman. Pada amnya, tanaman yang tumbuh agresif dan sihat dapat mengalahkan dan menghapuskan banyak jenis rumpai. Pembajaan yang betul dengan pengurusan penyakit, nematod dan serangga yang baik akan meningkatkan pertumbuhan dan membantu menghapuskan rumpai.

    Beberapa orang penyelidik telah mendapati bahawa rumpai memainkan peranan penting dalam penyebaran dan epidemiologi virus tanaman. Rumpai boleh menjadi sumber virus tersembunyi di dalam biji benihnya.

    Dalam kajian yang dilakukan untuk meninjau kehadiran secara semula jadi virus mozek timun (cucumber mosaic virus, CMV) pada rumpai di Malaysia, virus tersebut dapat dikesan pada banyak spesies rumpai e.g. Ageratum conyzoides dan Crotalaria spp. Dalam satu kajian yang lain virus mozek ‘squash’ (SqMV) telah dapat dikesan pada A. conyzoides, Cleome rutidosperma, Croton hirtus, Euphorbia hirta, Euphorbia prunifolia, Eupatorium odoratum, Hyptis brevipes dan Mikania micrantha, manakala virus mozek zucchini kuning (ZYMV) telah dapat dikesan pada A. conyzoides dan Wedelia trilobata. Dalam satu sampel A. conyzoides , SqMV dan ZYMV telah dikesan serentak, manakala SqMV dan CMV ditemui dalam sampel E. hirta dan E. odoratum .

    Kaedah pengawalan

    Beberapa kaedah pengawalan rumpai untuk tembikai telah pun ada. Memilih kaedah yang terbaik dan sesuai oleh penanam bergantung pada beberapa faktor: spesies rumpai, peringkat pertumbuhan tanaman dan rumpai dan kos buruh dan kesediaadaannya.

    Merumpai menggunakan tangan merupakan kaedah yang sangat berkesan dan selamat kepada tanaman. Merumpai dilakukan semasa tanaman dan rumpai masih kecil bagi mengurangkan kerosakan terhadap tanaman dan cangkul boleh digunakan. Membuang rumpai yang sudah besar dan mempunyai sistem akar yang ekstensif boleh merosakkan akar atau batang tanaman. Merumpai dengan tangan kosnya tinggi dari segi penggunaan tenaga buruh.

    Penanaman menggunakan jentera sangat berkesan terhadap pengawalan rumpai tetapi terhad kepada rumpai yang kecil yang mudah tercabut atau ditutup. Yang paling penting, penanaman menggunakan jentera tidak boleh digunakan apabila tanaman mula menjalar. Batang tembikai yang menjalar sangat lembut dan mudah dirosakkan oleh tayar traktor atau penggembur. Kawalan secara mekanikal perlu ditambah dengan merumpai menggunakan bahan kimia atau menggunakan tangan bagi membuang rumpai dalam barisan atau selepas tanaman mengeluarkan batang jalar.

    Kawalan rumpai menggunakan teknik batas semaian ‘stale’ melibatkan pengawalan rumpai yang bercambah menggunakan bahan kimia sebelum tanaman yang ditanam bercambah. Bahan sentuh tidak selektif digunakan e.g. ‘alachlor’ (sembur pada kadar 4 L/ha). Kaedah batas semaian ‘stale’ biasanya berganding dengan rawatan racun herba yang disembur sebelum menanam. Jika pokok diubah, kaedah ini digunakan untuk mematikan rumpai yang tumbuh sebelum mengubah. Dalam kaedah biji benih disemai terus , racun herba digunakan terhadap rumpai yang tumbuh selepas penanaman tetapi sebelum tanaman itu tumbuh.

    Gambar 2. Sungkupan plastik dengan pengairan titis ialah kaedah yang sangat berkesan untuk mengawal rumpai.

    Sungkupan plastik dengan pengairan titis ialah kaedah yang sangat berkesan untuk mengawal rumpai. Plastik hitam atau plastik yang tidak mengeluarkan cahaya baik digunakan bagi menghapuskan cahaya yang diperlukan oleh rumpai bercambah dan tumbuh. Plastik yang menyungkup batas tanaman seharusnya sesuai dengan batas tersebut dan tepinya dikemaskan bagi menghalang gangguan angin.

    Apabila batas sudah disungkup, lubang kecil dibuat pada plastik dan anak benih atau biji benih ditanam melalui lubang ini. Lubang yang kecil lebih baik bagi menghalang pertumbuhan rumpai. Kawasan antara batas hanya dirawat dengan racun herba yang didaftarkan untuk tembikai sahaja kerana akar tembikai boleh menjalar hingga ke tengah baris dan menyentuh tanah yang dirawat.

    Pencantasan

    Mencantas batang jalar tembikai akan menghasilkan saiz buah yang seragam. Ini mempunyai kelebihan dalam memendekkan tempoh penuaian kerana buahnya masak seragam. Batang jalar utama dipotong pada buku keenam atau ketujuh apabila tanaman berumur 15-20 hari.

    Pengairan

    Air ialah komponen yang kritikal dalam pengeluaran buah tembikai. Buah tembikai yang masak mengandungi lebih 90% air. Dengan itu, bekalan air yang mencukupi adalah kritikal bagi mengoptimumkan pengeluaran hasil dan kualiti tanaman ini.

    Kekurangan air pada peringkat tembikai baru tumbuh, melewatkan kematangan dan boleh menyebabkan terdapatnya ruang dalam pengeluaran. Tegasan air pada peringkat awal pertumbuhan vegetatif akan menyebabkan kekurangan kawasan keluasan daun dan mengurangkan hasil. Pengurangan hasil yang paling serius hasil daripada tegasan air semasa pembungaan dan pembentukan buah.

    Beberapa jenis sistem pengairan boleh digunakan dengan jayanya pada tanaman tembikai. Pemilihan terhadap jenis apa yang perlu dipilih akan berasaskan pada satu atau lebih faktor berikut:

    * Kesediaadaan peralatan
    * Bentuk dan saiz ladang
    * Jumlah dan kualiti air yang ada
    * Keperluan buruh
    * Keperluan bahan bakar
    * Kos

    Pengairan renjis

    Sistem ini termasuklah pangsi tengah, ‘linear move’, ‘travelling big gun’, set paip aluminium yang kekal dan mudah alih dengan perenjis. Semua sistem ini jika digunakan dengan betul amatlah memuaskan. Namun perbezaan bererti wujud pada kos permulaan dan keperluan buruh.

    Sebarang sistem perenjis yang digunakan pada tanaman tembikai seharusnya berupaya merenjiskan 2.5 cm air setiap 4 hari. Sebagai tambahan sistem ini mestilah mengeluarkan renjisan secara perlahan-lahan bagi menghalang larian permukaan tanah.

    Sistem renjisan dengan penggunaan keseragaman yang tinggi (pangsi tengah dan ‘linear move’) boleh digunakan untuk membaja. Ini akan meningkatkan keberkesanan baja yang digunakan iaitu dengan menjadikannya sedia ada untuk tanaman dan mengurangkan larut lesap.

    Walaupun pengairan atas tidak digalakkan apabila menggunakan sungkupan plastik, tetapi jika ia digunakan juga, batas yang lebih kecil (30-60 cm) lebih baik kerana air boleh sampai ke akar dengan lebih mudah. Batas yang lebar (melebihi 60 cm) akan lebih bermasalah, terutamanya pada tanah berpasir yang pergerakan air sisinya terhad.

    Pengairan titis

    Pengairan titis amat popular dalam pengeluaran buah tembikai. Ia boleh digunakan dengan atau tanpa sungkupan plastik. Kelebihan utama dalam penggunaan pengairan titis ini ialah air digunakan dengan berkesan jika diuruskan dengan betul. Kajian yang telah dijalankan di Florida, USA telah menunjukkan bahawa air yang diperlukan berkurangan sebanyak 40% pada musim pokok membesar bagi sayuran berpengairan titis berbanding dengan sayuran berpengairan renjis. Masalah rumpai juga berkurangan kerana batas sahaja diberi air sedangkan baris tengah antara batas dalam keadaan kering. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pengairan titis juga menggalakkan penghasilan awal dan meningkatkan saiz buah.


    Gambar 3. Pemasangan dan percubaan line pengairan titis pada batas tanaman dilakukan sebelum plastik sungkupan dibentangkan.

    Tiub yang menitis (atau ‘tape’) boleh dipasang di atas permukaan tanah atau ditanam di bawah permukaan tanah. Apabila digunakan bersama sungkupan plastik, ‘tape’ boleh dipasang serentak semasa membentang sungkupan plastik. Biasanya ‘tape’ diimbangi iaitu ke tepi sedikit daripada tengah batas. Ini akan menghalang ‘tape’ daripada rosak semasa membuat lubang dan operasi menanam anak pokok. Biasanya satu ‘tape’ titisan dipasangkan di sisi setiap baris.

    Sistem titisan mudah disesuaikan untuk penyuntikan baja. Ini membolehkan nutrien dibekalkan kepada tanaman di ladang sebagaimana diperlukan. Kaedah ini juga menghapuskan keperluan membaja yang banyak di awal musim menanam yang akan menyebabkan larut lesap di kawasan yang tidak boleh di capai akar atau akan menyebabkan ketoksikan garam. Hanya rumusan larut air boleh disuntik melalui sistem titis. Sistem perlu dibilas selepas setiap suntikan.

    Air yang digunakan dalam sistem titis perlu ditapis bagi membuang sebarang bahan yang boleh menyebabkan ‘tape’ tersumbat. Air perlu diuji kandungan mineralnya kerana ia juga boleh menyebabkan ‘tape’ tersumbat.

    Menjadualkan pengairan

    Air yang digunakan oleh tanaman dan menyejat dari tanah dinamakan penyejatpeluhan (ET). Kadar ET bagi tembikai telah dilaporkan setinggi ¾ cm sehari. Peringkat pertumbuhan tanaman, suhu, kelembapan bandingan, radiasi solar, angin dan jarak tanaman menjejaskan ET.

    Berikut ialah pengesyoran umum untuk kadar pengairan bagi tembikai yang menggunakan sistem pengairan renjis:

    * Daripada menanam hingga tanaman mula menjalar, guna 1¼ cm apabila tanah di atas 5 cm menjadi kering (lebih kurang setiap 5 atau 6 hari jika cuaca kering)

    * Daripada pokok mula menjalar hingga pembungaan pertama, guna 2 cm setiap 5 hari semasa cuaca kering. Jika layu sebelum tengah hari tingkatkan kekerapan pengairan.

    * Daripada mula berbunga hingga dituai, guna 2.5 cm setiap 4 hari semasa cuaca kering. Semasa cuaca yang amat panas (melebihi 35 °C ), kekerapan pengairan ditingkatkan kepada setiap 3 hari bagi mengelakkan tegasan.

    Tanah berpasir memerlukan pengairan lebih kerap bagi menghalang tegasan lembapan.

    Sistem pengairan titis perlu dikendali lebih kerap daripada sistem renjis. Biasanya ia dikendali setiap hari atau setiap dua hari. Jangan beri air berlebihan terutamanya apabila menggunakan sungkupan plastik kerana plastik akan mengawal tanah daripada menjadi kering.

    Pembajaan

    Gangguan fisiologi

    Buah cacat rupa atau buah pahit (buah cacat)

    Buah yang cacat rupa atau buah pahit disebabkan oleh kemarau (tanah kering atau suhu tinggi), pendebungaan tidak sempurna, tanah tidak subur atau masalah pembentukan yang lain. Batang tembikai perlu diperiksa setiap minggu bagi membuang buah yang berpenyakit dan buah cacat. Buah yang rosak perlu dibuang di tengah baris bagi mengelakkannya diperiksa semula. Bergantung pada varieti, biasanya antara 2-5 biji buah akan matang daripada satu pokok. Kekalkan bilangan buah sebagaimana yang disyorkan oleh pembekal biji benih.

    • Buah berongga
    • Tembikai tanpa biji lebih rentan terhadap masalah ini. Pendebungaan yang baik amat penting bagi mengawal gangguan ini.

    • Rasa tidak enak dan kurang manis
    • Rasa tidak enak dan kurang manis mungkin disebabkan oleh tanah yang tidak subur dan kandungan kalium, magnesium atau boronnya rendah.

    Kekurangan nutrien

    Kekurangan nutrien bukan masalah biasa bagi penanam tembikai di Malaysia. Sebagai amalan biasa bagi mengawal berlakunya kekurangan nutrien, penanam tembikai menggunakan baja organik dalam bentuk tahi ayam atau kompos bioorganik. Pemakanan yang baik mungkin disebabkan penggunaan baja foliar seperti Grofas Yellow dan Grofas Red.

    Penggunaan batu kapur magnesium kisar (Ground Magnesium Limestone, GML) sebanyak 4-5 t/ha semasa penyediaan tanah merupakan amalan yang standard yang diamalkan oleh penanam tembikai. Ini mungkin menjadi sebab tiadanya masalah kekurangan Ca pada tembikai yang ditanam di Malaysia.

    Namun, sebarang bentuk kekurangan nutrien yang berlaku pada pertengahan musim menanam akan mengurangkan pengeluaran buah. Penggunaan baja yang cukup sangat penting bagi mengelakkan kekurangan baja. Jadual 1 menerangkan tentang simptom kekurangan nutrien pada buah tembikai dan bagaimana cara mengelakkannya.

    Jadual 1. Diagnosis masalah kekurangan nutrien pada buah tembikai

    Tanda-tanda kekurangan Kekurangan nutrien yang mungkin Tanah yang paling diperlukan Bagaimana mengelakkan kekurangan
    Pertumbuhan terbantut Nitrogen (N) Tanah berpasir Pembajaan asas daripada baja organik sebelum menyemai/menanam
    Daun kecil dan berwarna hijau pucat (petunjuk daun) Kawasan hujan sembur baja foliar yang mempunyai kandungan N yang tinggi
    Batang lemah
    Tepi daun menjadi kuning kemudian perang Kalium (K2O) Tanah berpasir Baja asas dan baja foliar yang tinggi kandungan kaliumnya
    Hasil buah yang rendah (petunjuk bunga dan buah) sembur baja yang mengandungi kalium yang tinggi
    Warna buah dan bunga kurang menarik
    Kerintangan terhadap penyakit yang rendah

    Jenis-jenis baja

    Hanya satu cara mengurus kesuburan dan pH tanah dengan tepat iaitu dengan menjalankan ujian terhadap tanah. Pensampelan tanah dijalankan begitu rupa seperti ia mewakili keseluruhan tanah ladang. Ini amat penting bagi memastikan keputusan yang tepat dan pengesyoran pembajaan yang betul. Program pembajaan yang baik untuk pengeluaran buah tembikai dapat menjawab empat soalan asas:

    1. Apakah bahan baja (termasuk kapur) yang perlu digunakan?
    2. Berapa banyakkan perlu digunakan?
    3. Berapa kerapkah baja ini digunakan?
    4. Kaedah bagaimanakah ia digunakan (cara tabur, cara jalur dll.)?

    Sebagai tambahan program pengurusan paling berjaya termasuklah penilaian dan pengubahsuaian yang kerap, jika perlu hadapi masalah di luar jangkaan seperti banjir, kemarau dan faktor-faktor lain yang menjejaskan keupayaan pokok menggunakan nutrien.

    Ukuran pH tanah menandakan keasidan atau kealkalian tanah. Tanah yang mempunyai pH 7 dianggap neutral, nilai lebih daripada 7 tanah dianggap beralkali dan nilai kurang daripada 7 tanah dianggap berasid. pH tanah mempunyai kesan yang besar terhadap pertumbuhan pokok, pembentukan dan akhirnya pengeluaran. pH tanah juga menjejaskan kesediaadaan nutrien untuk pokok membesar. Tanah yang sedikit berasid dengan pH 6-6.5 ideal untuk pokok tembikai.

    Hanya satu cara yang tepat untuk menentukan pH tanah iaitu dengan pengujian tanah. Analisis ini dapat menentukan sama ada kapur diperlukan atau tidak untuk meningkatkan pH. Kapur bertindak agak lambat dalam meningkatkan pH tanah dan secara relatifnya ia tidak bergerak di dalam tanah. Oleh sebab itu, kapur perlu ditambah 2-3 bulan sebelum menanam dan dicampurkan dengan 5-20 cm tanah bahagian atas. Tanah yang kekurangan magnesium perlu diberikan kapur dolomite bukan kapur kalsium.

    Untuk pengeluaran tembikai, jumlah nitrogen (N), fosforus (P 2 O 5 ) dan kalium (K 2 O) yang disyorkan ialah 136 kg/ha. Tembikai ialah tanaman yang mempunyai musim yang panjang. Dengan itu, penggunaan baja sedikit demi sedikit untuk beberapa kali, sepanjang musim akan memaksimumkan pengeluaran. Hujan dan pengairan atas boleh melarutkan nutrien daripada tanah, terutamanya N dan K jika sungkupan plastik tidak digunakan. Semua fosforus yang diperlukan boleh digunakan sebelum penanaman dan perlu dikekalkan di sepanjang musim membesar kerana secara relatifnya ia tidak bergerak di dalam tanah.

    Banyak kaedah yang berbeza wujud dalam penggunaan baja. Satu kaedah mudah ialah dengan menabur dan mencampurkan semua P dan K dan gunakan ½ jumlah N sebelum penanaman dan ½ lagi, 4-6 minggu selepas menyemai.

    Kaedah penggunaan yang lebih rumit biasanya untuk mengekalkan aras nutrien yang optimum di sepanjang musim membesar. Dalam kaedah seperti ini cara menabur yang diubahsuai iaitu dengan menumpukan baja di dalam kawasan akar berbanding dengan kaedah penaburan yang biasa. Dalam kaedah penaburan yang diubahsuai, baja ditabur seperti jalur 60-100 cm lebar di dalam baris sebelum menanam. Kaedah ini juga menghapuskan pembakaran tumbuhan lain yang muncul jika baja ditabur dalam jalur hampir dengan anak pokok yang baru hendak hidup. Dalam kaedah ini semua P digunakan sebelum menanam dengan sebarang mikro nutrien. Satu pertiga hingga ½ N dan K yang disyorkan juga digunakan dalam kaedah penaburan terubah suai ini. Selepas 3 minggu anak pokok muncul, gunakan ¼ N dan K yang tinggal lagi di bahagian sisi batas berdekatan dengan hujung batang yang bercambah. Selepas 6 minggu bercambah gunakan/habiskan N dan K yang masih ada.

    Bagi tanaman di bawah sungkupan plastik, kehilangan nutrien melalui larutan berkurangan. Dengan itu, semua N, P dan K yang diperlukan oleh tanaman boleh digunakan sebelum batas tanaman ditutup dengan plastik. Tambahan lagi, penggunaan baja berikutnya melalui tanah tidak dapat dilakukan tanpa merosakkan sungkupan plastik tersebut. Sebarang baja tambahan hanya boleh digunakan secara foliar atau titisan .

    Penanam tembikai kadang-kadang mengalami pengeluaran putik yang amat tidak memuaskan walaupun dengan aktiviti lebah yang mencukupi. Penyemburan foliar boron larut air (lebih kurang 25 g berat sebenar boron bagi setiap penyemburan) 2-3 kali pada sela seminggu yang berbetulan dengan mekarnya bunga betina yang pertama boleh menambahkan pendebungaan dan pembentukan putik dapat ditingkatkan. Program pengurusan pembajaan yang baik termasuklah pencerapan yang kerap pada tanaman bagi memerhatikan simptom kekurangan nutrien.

    Kandungan nutrien baja komersial yang ada di Malaysia

    Jenis baja Nitrogen
    (%)
    Fosfat (%) Kalium
    (%)
    Magnesium (%)
    Tahi ayam terproses (Avanti) Baja sebatian** 3.5 4.5 2.5 1.0
    NPK Green 15:15:15 15 15 15 -
    Grofas yellow 22:22:10:1 + TE*** 13 26 26 -

    * Baja organik yang biasanya lambat bertindak, membekalkan pokok dengan baja dalam tempoh yang lama
    ** Baja bukan organik, sebatian dan foliar pada amnya cepat bertindak, penggalak pada pokok apabila digunakan sebagai pembajaan tambah.
    ***TE = Unsur pekit

    Penggunaan Baja

    Baja hilang melalui larut lesap merupakan masalah utama pada tembikai yang ditanam tanpa sungkupan plastik, terutamanya pada tanah berpasir. Kehilangan nutrien akibat rumpai juga tidak dapat dielakkan kerana sukar untuk merumpai apabila pokok mula menjalar. Masalah ini ada dinyatakan dalam program pembajaan dengan meningkatkan jumlah baja yang digunakan dan diberikan secara berperingkat-peringkat. Jumlah baja yang digunakan bagi tembikai sehektar ialah 5-10 tan baja organik, 400 kg NPK 15:15:15 dan 1,000 kg NPK 12:12:17:2. Baja ini digunakan secara berperingkat-peringkat sebagaimana ditunjukkan dalam Jadual 1.

    Jumlah baja yang hilang akibat larut lesap dalam iklim tropika sangat banyak terutamanya di tanah berpasir. Dengan itu, sungkupan plastik bersadur perak sangat-sangat digalakkan. Penyelidikan di tanah berpasir yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan bahawa jumlah baja yang diperlukan ialah ½ daripada yang diperlukan oleh tembikai yang tidak diberikan sungkupan. Jadual penggunaan baja bagi tembikai yang menggunakan sungkupan plastik ditunjukkan dalam Jadual 2. Semua baja organik dan NPK 15:15:15:2 diberi sebelum sungkupan plastik dipasangkan. Baja tambahan diberikan sebagai baja cecair yang disemburkan ke daun bersama-sama dengan racun serangga atau racun kulat yang diperlukan.

    Jadual 1. Jadual penggunaan baja bagi tembikai yang ditanam tanpa sungkupan plastik*

    Masa Jenis Baja Jumlah Kaedah
    Baja asas
    0-2 hari sebelum menyemai atau mengubah NPK 15:15:15 50 g per tapak penanaman (200 kg/ha) Tabur dengan baik dan gaulkan dalam lubang penanaman
    Pembajaan tambah kedua
    Peringkat berbunga
    • 40 hari selepas menyemai
    • 30 hari selepas mengubah
    NPK 12:12:17:2 200 g per pokok (800 kg/ha) Bubuh dalam 2-3 poket lebih kurang 15-20 cm dari pokok

    * Kaedah menyemai terus biasanya digunakan untuk tembikai hibrid F1, manakala pengubahan digunakan untuk tembikai triploid tanpa biji.

    Jadual 2. Jadual penggunaan baja untuk tembikai yang ditanam menggunakan sungkupan plastik*

    Masa Jenis Baja Jumlah Kaedah
    Selepas membentang sungkupan plastik
    0–2 hari sebelum menyemai atau mengubah NPK 15:15:15 50 g per tapak penanaman (200 kg/ha) Tabur rata dan gaulkan ke dalam lubang penanaman
    Penggunaan foliar kedua
    Permulaan peringkat menjalar:
    • 30 hari selepas menyemai
    • 20 hari selepas mengubah
    Baja foliar untuk peringkat vegetatif.
    i.e. Grofas Yellow
    Sembur hingga menitis Boleh digunakan bersama-sama racun kulat dan racun serangga
    Penggunaan foliar keempat
    Peringkat pembentukan buah:
    • 50 hari selepas menyemai
    • 40 hari selepas mengubah
    Baja foliar untuk peringkat vegetatif. i.e. Grofas Yellow Sembur hingga menitis Boleh digunakan bersama-sama racun kulat dan racun serangga

    * Lebar sungkupan plastik yang disyorkan ialah 1.8 m.

    Ringkasan Proses Pengeluaran Buah Tembikai

    Tindakan Apa tindakan diambil? Bagaimana tindakan dilakukan? Bila tindakan dilakukan? Kenapa tindakan dilakukan?
    Bahan tanaman Biji benih direndam semalaman, 2-3 biji/lubang tanaman. Benih disemai dalam beg politena di tapak semaian 11-12 hari sebelum mengubah Untuk penuaian awal, satu-satunya cara menanam varieti tanpa biji.
    Penggunaan baja (lihat bahagian penggunaan baja) Secara manual 3 kali pembajaan berperingkat setiap musim Memerlukan input baja yang tinggi
    Kawalan perosak dan penyakit Pantau kehadiran perosak dan penyakit. Kawal sewajarnya Pemeriksaan tanaman yang tetap Seperti yang diperlukan Mengekalkan hasil dan rupa kosmetik
    Pendebungaan Pelihara lebah madu bagi meningkatkan pendebungaan 1 sarang lebah per ekar Pendebungaan berterusan Memastikan pengeluaran putik yang maksimum dan mengurangkan kejadian buah pelbagai bentuk
    Penuaian Buah dipetik dengan tangan Dipotong secara manual dari batang 30 hari selepas berbunga sepenuhnya

    Kematangan dan penuaian

    Tempoh kematangan buah tembikai berbeza-beza antara varieti, keadaan cuaca dan kedah penanaman. Pada amnya penuaian bermula 30-45 hari selepas berbunga sepenuhnya apabila kandungan gula tertinggi dengan jumlah pepejal larut sekitar 10%. Penuaian dilakukan dalam masa beberapa minggu dengan 3-4 kali menuai pada sela 3-5 hari. Kematangan sukar ditentukan tetapi pada amnya ditunjukkan oleh:

    * Hujung batang yang berbuah dan sulur paut menjadi kuning.

    * Bahagian buah yang terletak di atas tanah bertukar warna daripada warna putih menjadi warna krim atau kuning pucat.

    * Perubahan warna buah menyerupai ciri-ciri varieti.

    * Apabila buah diketuk dengan jari, bunyi berongga dihasilkan.


    Gambar 1. Apabila buah matang bahagian buah yang terletak di atas tanah bertukar warna daripada warna putih menjadi warna krim atau kuning pucat

    Di bahagian dalam buah yang matang, isinya berubah warna kepada warna merah atau kuning. Bagi kultivar berbiji, peringkat kematangan yang optimum dicapai apabila lapisan bergelatin (aril) di sekeliling biji sudah tidak kelihatan dan bijinya keras. Dinasihatkan supaya membelah beberapa biji tembikai pada peringkat permulaan penuaian bagi memastikan penilaian kematangan luaran adalah tepat.

    Terdapat beberapa masalah dengan penuaian buah tembikai. Jika ladang menerima terlalu banyak air, buah yang banyak air (bengkak) akan retak dan pecah, terutamanya apabila menuai pada sebelah pagi. Penuaian dalam keadaan basah akan meningkatkan kecederaan mekanikal disebabkan lelasan oleh pasir atau tanah pada permukaan tembikai semasa menuai. Penuaian pada sebelah tengah hari, dengan memotong batang tembikai (tidak merentap buah dari batangnya) dapat mengurangkan risiko buah retak. Menyusun buah tembikai pada bahagian sisi (bukan ditegakkan) juga dapat mengurangkan risiko keretakan. Penuaian selepas hujan perlu dielakkan kerana buah lebih rentan terhadap penyakit lepas tuai.

    Semasa menuai, buah tembikai hendaklah dipotong, bukan ditarik, diputar atau direntap. Apabila buah ditarik,. terdapat ruang masuk untuk bakteria dan kulat yang boleh menyebabkan buah jadi masam dan boleh menyebabkan isi buah menjadi busuk. Oleh sebab buah dipotong dari batang, bahagian bawah buah yang mudah melecur perlu diterbalikkan.

    Pengendalian di ladang

    Buah tembikai yang sudah dituai hendaklah diberi teduhan bagi meminimumkan pengeluaran haba kerana pancaran cahaya matahari secara langsung akan menurunkan kualiti buah. Suhu melebihi 32 °C akan menyebabkan bahagian dalam buah rosak dan cepat busuk. Kesannya memerlukan masa selama beberapa hari untuk menjadi nyata. Jika pokok tembikai tidak terlalu basah, penuaian di sebelah pagi akan mengurangkan pengeluaran haba. Buah tembikai mesti kering semasa dipunggah.

    Pengendalian yang kasar akan menyebabkan kerugian yang besar. Buah tidak boleh jatuh, dibaling atau dipijak kerana akan berlaku kerosakan dalaman dan isi buah akan hancur. Pekerja yang memunggah buah di bawah seharusnya menghulurkan buah kepada penyusun buah di atas lori dengan menggunakan tangan, dan penyusun buah dengan berhati-hati meletakkan buah dalam timbunan di atas lori. Buah ‘pitching’ biasanya berlaku akibat daripada buah terjatuh atau digolekkan ke timbunan. Jangan sekali-kali menyusun buah dengan hujung buahnya ke bawah, kerana hujungnya yang nipis (bekas bunga) ialah kawasan yang paling rentan mengalami lebam. Buah jatuh daripada ketinggian 20 cm akan menyebabkan kerosakan dalaman, manakala jatuh daripada ketinggian 30 cm pula, bahagian dalam buah akan hancur atau buah akan pecah. Kartun yang berisi 3-5 biji tembikai dan bekas pukal dengan palet jika digunakan boleh melicinkan pengendalian dan mengurangkan kerosakan.

    Buah lebam dan cedera hasil daripada pemunggah membaling buah ke dalam trak di atas buah-buah yang lain. Penuai perlu berhati-hati supaya tidak terpotong atau terkupas kulit buah dengan pisau mereka. Kawasan seperti ini merupakan ruang masuk bagi patogen yang menyebabkan buah busuk. Tuai hanya apabila buah kering kerana ini akan mengurangkan lelasan disebabkan pasir yang bergesel dengan permukaan buah.

    Menuai atau memunggah semasa buah masih basah tidak digalakkan kerana meningkatkan risiko buah busuk. Buah tembikai terdedah kepada kerosakan mampat dan kecederaan lelasan daripada permukaan yang kasar semasa dituai di ladang dan semasa diangkut ke tempat pengumpulan. Oleh sebab itu, dinding sisi, dinding depan dan belakang trak di ladang atau ‘wagon’ untuk mengangkut buah perlu dilapik.

    Lepas tuai

    Kerosakan akibat penyakit boleh menyebabkan kerugian yang serius pada peringkat lepas tuai tembikai.. Penyakit lepas tuai yang paling biasa ialah antraknos dan reput pangkal buah. Rawatan lepas tuai diperlukan untuk mengawal penyakit ini.

    Antraknos disebabkan oleh Colletotrichum orbiculare, yang boleh menembusi kutikel dan epidermis daun, batang dan buah. Ciri yang ditunjukkan ialah bulatan warna hijau gelap atau lesi memanjang yang menjejaskan permukaan buah. Lesi ini semakin membesar , menjadi perang dan tenggelam. Penyakit ini mungkin jangkitan pendam dari ladang yang menjadi nyata selepas dituai terutamanya dalam keadaan panas dan lembap. Penyakit ini mungkin menjangkiti buah lain melalui pencemaran silang dengan buah berpenyakit dan penggunaan bekas yang kotor. Antraknos boleh dikawal dengan melaksanakan langkah-langkah pengawalan sebelum tuai, termasuklah penggunaan mancozeb pada 8-10 g/4.5 L atau maneb pada 9-18 g/4.5 L.

    Reput pangkal buah disebabkan oleh Lasiodiplodia theobromae, yang menyebabkan kawasan pangkal buah menjadi perang, lembik dan bonyor. Patogen masuk ke dalam buah melalui permukaan tangkai buah yang terluka atau luka terbuka atau lebam. Ia boleh dikawal dengan membiarkan beberapa sentimeter tangkai buah melekat pada buah.

    Ringkasnya, faktor penting yang menentukan kualiti buah tembikai semasa menuai dan pengendalian ialah:

    * Tuai buah pada peringkat kematangan yang sesuai bagi tujuan pemasaran
    * Elakkan kecederaan semasa menuai, pengendalian, pembungkusan dan penghantaran.
    * Kekalkan suhu penyimpanan yang betul pada 10-15 °C

    Pembungkusan

    Buah tembikai diangkut sama ada secara penghantaran pukal atau dimuatkan di dalam bekas dan karton dan dipunggah ke atas trak pengangkutan. Penghantaran pukal dilakukan berdekatan dengan ladang yang menanam tembikai. Dalam proses ini buah tembikai perlu dielakkan daripada gegaran dan kecederaan pemindahan muatan semasa dalam perjalanan. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan lapisan jerami di lantai treler, di antara buah, dan di bahagian depan dan dinding sisi treler. Jumlah jerami yang banyak diperlukan di bahagian belakang iaitu antara buah tembikai dengan pintu belakang bagi mengelakkan kerosakan akibat treler berhenti dengan tiba-tiba. Semasa operasi pemunggahan, secara fizikalnya buah tembikai tidak dilindungi oleh apa-apa bungkusan. Dengan itu, pekerja tidak boleh duduk, berdiri atau berjalan di atas buah tembikai semasa pemunggahan kerana ini akan menyebabkan kecederaan mampat. Satu lapisan busa dapat mengelakkan buah daripada tercedera.

    Karton penghantaran boleh memuatkan tiga, empat atau lima biji tembikai bergantung pada saiz. Bekas papan gentian pula boleh mengisi purata 50 biji tembikai untuk penghantaran secara pukal. Kebaikan menggunakan bekas ini ialah kejadian buah lebam berkurangan kerana pengendalian buah individu yang sedikit. Pekerja di bahagian pembungkusan yang tidak berpengalaman boleh menyebabkan kerosakan bahagian dalam buah semasa mengisi buah ke dalam bekas atau karton. Mencampakkan buah ke dalam bekas akan menyebabkan gegaran hentaman dan berdiri atau duduk di atas buah tembikai yang sudah disusun di dalam bekas akan menyebabkan kecederaan mampatan. Semua pekerja yang mengendali buah perlu belajar bahawa walaupun tiada kecederaan luaran, ini tidak bermakna pengendalian telah sempurna, kerana kecederaan akan berlaku di bahagian dalam (isi buah) dahulu.

    Penghantaran

    Buah tembikai yang dihantar secara pukal mestilah dialas menggunakan jerami secukupnya bagi mengelakkan buah tersebut daripada tercedera dalam perjalanan.

    Sebagai tambahan, treler yang digunakan mestilah mempunyai sistem pengudaraan yang cukup. Treler yang tertutup mestilah mempunyai pintu berlubang, dua di bahagian hadapan dan dua di bahagian belakang bagi membolehkan laluan udara di antara timbunan buah di dalam treler. Jika tidak, haba berlebihan akan meningkatkan bilangan buah yang busuk dan kehilangan kualiti.

    Perkara seperti berikut boleh dilakukan bagi meminimumkan kecederaan buah di dalam bekas atau karton semasa penghantaran:

    * Gunakan palet yang saiznya sesuai dengan keluasan bekas bagi menghalang bekas yang disusun di bahagian atas daripada terjatuh ke bekas di bahagian bawah dan merosakkan buah tembikai.

    * Gunakan palet yang masih dalam keadaan baik bagi mengelakkannya daripada patah semasa dalam perjalanan dan serpihannya akan merosakkan buah tembikai di dalam bekas di bahagian bawah.

    * Pastikan palet bahagian atas diletakkan dengan betul di atas bekas bagi mengelakkan ia bergerak semasa dalam perjalanan.

    * Kukuhkan muatan di bahagian belakang treler dengan betul supaya karton tidak bergerak dan buah tidak rosak semasa dalam perjalanan.

    * Elakkan mengisi buah ke dalam bekas secara berlebihan supaya buah di dalamnya tidak rosak apabila bekas disusun di atasnya.

    * Ikatkan bekas yang paling atas dalam susunan pada palet bagi menghalang gegaran semasa dalam perjalanan yang boleh menyebabkan bekas ternaik ke atas bekas yang lain dan buah tergolek ke bawah.

    * Pastikan semua bekas, karton dan treler mempunyai pengudaraan yang cukup.

    Penyimpanan

    Pengurusan suhu amat penting untuk memastikan kualiti buah tembikai yang optimum. Pra pendinginan buah sebelum penyimpanan disyorkan bagi mencapai tempoh penyimpanan yang maksimum. Pra pendinginan boleh dilakukan dengan cara pendinginan bilik atau pendinginan udara paksa bagi mengurangkan suhu buah hampir kepada suhu optimum secepat mungkin.

    Suhu penyimpanan yang optimum bagi buah tembikai ialah 10-15 °C, dengan kelembapan relatif 85-90%. Tembikai yang disimpan pada suhu ini tahan selama 2-3 minggu.

    Kecederaan dingin boleh berlaku apabila buah disimpan pada suhu kurang daripada 10 °C. Kemerahan isi berkurangan dan jus dari isi buah akan meleleh dan permukaan buah akan melekuk. Kecederaan dingin juga boleh meningkatkan kerentanan terhadap kejadian busuk dan reput terutamanya selepas dikembalikan ke suhu ambien yang hangat selepas penyimpanan sejuk.

    Apabila buah tembikai dipotong/dibelah, ia hendaklah dibungkus menggunakan filem regang dan disimpan pada suhu 2-4 °C bagi mengelakkan rasa masam dan kekeringan permukaan.

    Buah tembikai biasanya diangkut di dalam trak yang terbuka atau tertutup dan treler tanpa penyejukan. Buah tembikai tidak boleh diangkut di dalam trak tertutup tanpa penyejukan. Buah tembikai tidak boleh disimpan bersama-sama dengan buah-buahan lain (e.g. pisang) dan sayur-sayuran (e.g. tomato) yang membebaskan etilena. Etilena ialah gas yang tidak berwarna yang dianggap sebagai hormon ketuaan atau kematangan semula jadi. Apabila terdedah kepada etilena, isi buah tembikai akan rosak dan bonyor. Keadaan ini akan mengakibatkan isi menjadi lembik dan kehilangan rasa.

    © Copyright 2007 http://harizamrryblog.blogspot.com Corp. All rights reserved
    Get Started On Blogger!, Join for free, and view profiles, connect with others, blog, rank music, and get much more!