Google

Wednesday, December 5, 2007

Petani Tempatan Gigih Hasilkan Cili Untuk Produk Dunia

PASIR PUTEH, 19 Jan (Bernama) — Petani Musa Mat Hassan tidak pernah menjejakkan kaki di Australia atau New Zealand.

Namun, beliau berbangga kerana tanaman cili yang diusahakan di belakang rumahnya di sini dapat menjadi produk yang dieksport ke pasaran dunia termasuk kedua-dua negara itu.

“Tapi, yang paling utama, dengan mengusahakan cili inilah saya mampu menyara hidup bersama isteri dan anak-anak,” kata Musa, yang terus gigih walaupun usianya mencecah 84 tahun.

“Hasil cili juga membolehkan saya membina sebuah rumah setelah rumah lama terbakar. Dapat juga beli sebuah kereta dan motosikal,” katanya.

Beliau pernah memperolehi pendapatan sehingga RM18,000 semusim iaitu selama lapan bulan hasil daripada jualan cili yang ditanamnya.

Musa yang sebelum ini menanam tembakau mula menanam cili sejak enam tahun lepas setelah melihat kejayaan beberapa rakan lain memperolehi pendapatan lumayan setiap musim.

“Dulu tanam tembakau dapat RM3,000 seekar tetapi dengan cili kulai saya mampu memperolehi sehingga RM18,000. Paling sedikit pun saya dapat RM5,000 semusim kerana kemarau,” katanya.

Begitu juga dengan Burhanuddin Jusoh, 60, yang mula menanam cili kulai pada 1998. Beliau mampu memperolehi pendapatan sehingga RM21,000 semusim hasil penanaman cili di Kampung Gong Kemuning, di sini.

Seperti Musa, beliau juga mengusahakan tanaman cili bersama isterinya, Wan Kamariah Wan Ahmad, 48, di atas sebidang tanah seluas 0.4 hektar. Tanaman cili juga dimulakan setelah melihat kejayaan beberapa penduduk kampung lain yang memilih tanaman berkenaan.

“Walaupun nekad dengan beralih kepada tanaman cili, saya masih lagi ragu-ragu kerana tidak berapa yakin dapat pulangan sebagaimana tanaman tembakau sebelum ini,” katanya.

“Namun, apabila dapat RM7,000 pada musim pertama mengusahakan tanaman cili, saya benar-benar bersyukur dengan keputusan saya itu. Apatah lagi saya mampu mengerjakan ibadat Haji di Mekah dengan duit hasil jualan cili ini,” katanya.

KEJAYAAN JADI INSPIRASI

Apa yang pasti, rata-rata petani yang memilih tanaman cili dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang itu mendapat inspirasi daripada kejayaan Che Ahmad Che Kob, 56, yang pernah menjadi penduduk miskin tegar.

Che Ahmad, yang berjaya mengangkat dirinya daripada kepompong kedaifan, pernah merangkul Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan Tahun 1996 dan merupakan antara petani terawal mengusahakan tanaman cili kulai di PPK berkenaan.

“Saya berasal dari keluarga susah, dan tidak punya apa-apa. Saya juga merupakan peserta Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Sebelum menanam cili, saya mengambil upah menanam padi, pendapatannya tidak seberapa, susah jugalah pada masa itu untuk menyara kehidupan saya dan isteri bersama lapan anak kami,” katanya.

Sebaik sahaja mengetahui PPK Bukit Awang merancang menanam cili kulai pada 1994, beliau menawarkan diri untuk turut serta bersama tiga peserta lain.

“Tahun pertama, saya mendapat RM8,000 untuk seekar tanah yang diusahakan. Tahun kedua, saya usahakan dua ekar tanaman cili dan mendapat pulangan sehingga RM20,000. Sejak itu juga kehidupan saya sekeluarga berubah.

“Sudah lebih 10 tahun saya mengusahakan tanaman cili, dan setiap musim saya mampu meraih pendapatan purata sehingga RM20,000,” kata Che Ahmad, yang kini mampu memiliki rumah sendiri.

Beliau masih mengusahakan tanaman cili di atas 1.2 hektar tanah dan menyewa lebih 3.6 hektar tanah di Kemubu, Machang untuk tanaman campur mengikut musim termasuk tembikai, tembikai madu dan labu madu.

ATASI KEMISKINAN

Projek penanaman komoditi cili di PPK Bukit Awang terletak di bawah naungan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani atau lebih dikenali sebagai (MOA-INC) dengan mendapat kerjasama beberapa jabatan dan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), FAMA, Bank Pertanian dan sebagainya.

Ia bertujuan membantu 2,479 anggota PPK di kawasan berkenaan yang kebanyakannya dilingkari kemiskinan menikmati kehidupan lebih baik.

Pengurus PPK Bukit Awang, Muhammad Abdul Rahman berkata penanaman cili di PKK Bukit Awang dimulakan pada 1994 dengan empat peserta di kawasan seluas 1.6 hektar di Kampung Gong Kulim, di sini.

Hasil projek perintis sebanyak 8.5 tan itu mencecah RM25,000 dipasarkan melalui PPK Marang, Terengganu. Ia kemudiannya dikembangkan kepada 25 peserta dengan keluasan lebih lapan hektar tanah.

Kumpulan petani berkenaan berjaya menghasilkan 42.5 tan metrik cili bernilai RM127,638.

Kejayaan itu mendorong syarikat Nestle (Malaysia) Bhd menawarkan kuota sebanyak 120 tan cili kepada PPK berkenaan pada 1996.

Ia juga bersetuju menambah kuota dari semasa ke semasa dan menjalankan pemasaran secara terus dengan PPK Bukit Awang tanpa melalui PPK Marang.

Ini jelas memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui peluang pekerjaan sebagai penanam, pekerja yang terlibat dengan pengangkutan, membersih cili sebelum dihantar ke kilang iaitu membuang tangkai cili dari buah dan mengasingkan buah yang elok dengan yang rosak.


PASARAN DUNIA

Sepanjang tempoh berkenaan juga PPK Bukit Awang telah mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk melahirkan Peladang Jaya Kebangsaan pada 1996 dan 1998, Anugerah Pengurusan Projek Terbaik Peringkat Kebangsaan Kategori Sayuran pada 1998 dan 2001 dan pernah dianugerahkan sebagai PPK Flagship (Perdana).

Terbaru, ia menerima Akreditasi Sijil Salam, skim persijilan yang dirangka Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang melaksanakan amalan pertanian yang baik berkonsepkan mesra alam sekitar dan menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Pertanian Nestle, Yong Lee Keng berkata cili yang dihasilkan di PPK itu diproses menjadi pelbagai produk berasaskan cili dengan jenama ‘Maggi’ keluaran syarikat berkenaan.

Menurutnya Nestle memperuntukkan dua hari untuk keseluruhan proses — daripada kerja-kerja memetik cili di ladang, penghantaran ke kilang pemprosesan Nestle di Petaling Jaya, Selangor dan dibotolkan — bertujuan memastikan kualitinya terjamin.

Menurut beliau, produk cili yang dihasilkan di Bukit Awang dieksport ke 20 negara termasuk New Zealand, Australia, Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara jiran selain pasaran tempatan.

– BERNAMA

No comments:

© Copyright 2007 http://harizamrryblog.blogspot.com Corp. All rights reserved
Get Started On Blogger!, Join for free, and view profiles, connect with others, blog, rank music, and get much more!