SETIAP usaha yang disulami ketekunan dan ilmu pasti membuahkan hasil yang lumayan. Berbekalkan semangat itulah yang mendorong Halid Mohd Yaacob, 42, meninggalkan kerja tetap dengan jawatan yang boleh dibanggakan dalam perkhidmatan awam dan memilih bidang penternakan untuk meneruskan masa depan.
Halid bersama ahli keluarganya iaitu (kanan) Sariah, Hamidah dan Aminah yang mengusahakan penternakan ayam daging secara komersial bergambar di ladang ternakan mereka yang terletak dalam kawasan Lubuk Merbau.
Berbekalkan modal RM240,000 yang diperolehi melalui pinjaman Bank Pembangunan, beliau bersama tiga adik beradiknya iaitu, Hamidah, 48, Aminah, 46 dan Sariah, 34, telah berpakat untuk mengusahakan penternakan ayam daging.
Katanya, untuk perniagaan keluarga itu, beliau hanya terbabit dalam pengurusan dan kewangan manakala yang menguruskan urusan sepenuhnya di ladang adalah adik-beradiknya yang lain.
Beliau memilih bidang tersebut kerana baginya ayam merupakan salah satu dari sumber asas makanan dan pasarannya sentiasa berkembang.
“Pada peringkat awal memang ada yang menentang usaha kami adik beradik ditambah lagi dengan keinginan saya untuk melepaskan jawatan tetap yang disandang tetapi saya terpaksa menanggung risiko untuk kemajuan hidup kami sekeluarga,” katanya kepada Berita Perak di Lubuk Merbau.
Katanya, mereka mempunyai 4 buah reban yang dapat memuatkan 5,000 sehingga 6,000 ekor ayam dalam sebuah reban pada satu-satu masa dan diusahakan menggunakan kaedah sistem tertutup.
“Sejak diusahakan pada tahun 2001, hasil yang diperolehi amat membanggakan dan setiap kali ayam dijual kepada peraih, kami akan dibayar RM130,000 dan setelah menolak kos pengurusan, untung bersih yang akan kami perolehi sekitar RM20,000,” katanya.
Tambah beliau, ayam-ayam yang dipelihara mengambil masa 42 hari untuk matang sebelum dijual dan dalam tempoh setahun, ayam-ayam itu akan dipasarkan sebanyak enam kali.
Mengenai masalah yang dihadapi, katanya, pada sekitar tahun 2003, ayam-ayam ternakannya pernah diserang penyakit selesema burung dan mengakibatkan kematian sebanyak 10 peratus tetapi kini masalah itu dapat diatasi.
Mengenai rancangan masa depan, beliau berkata, dalam masa sebulan lagi, mereka akan membuka sebuah lagi pusat penternakan ayam daging di Karai, Kuala Kangsar yang dijangka dapat menempatkan sebanyak 20,000 ekor ayam ternakan.
“Selain itu, jika ada rezeki dan segalanya berjalan lancar, kami bercadang untuk memasarkan sendiri hasil ternakan supaya keuntungan yang akan diperolehi lebih tinggi,” katanya.
No comments:
Post a Comment