Google

Wednesday, December 5, 2007

Sik Bakal Pengeluar Ikan Hiasan Terbesar Di Kedah

SIK, 16 Ogos (Bernama) — Siti Fatimah Abdul Razak, 22, adalah antara 40 penduduk kampung KEDA Bendang Man di sini yang menanti penuh sabar ketibaan hujung tahun ini untuk melihat pulangan hasil kepada titik peluh yang dicurahkan mereka dalam projek ternakan ikan hiasan, bidang yang jelas begitu asing bagi kebanyakan mereka.

Kebanyakan peserta projek yang dibangunkan oleh Jabatan Perikanan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu adalah dari kalangan penoreh getah yang berpendapatan sekitar RM350 dan RM650 sebulan.

Projek di atas kawasan tanah terbiar seluas 4.45 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang membabitkan kos RM2.03 juta itu digerakkan selaras dengan usaha dan impian kerajaan menggandakan pendapatan penduduk kawasan berkenaan.

Siti Fatimah adalah antara penduduk kampung itu yang terbabit sepenuh masa dalam projek ternakan ikan hiasan yang dimulakan beberapa bulan lalu, yang bakal menjadikan daerah berkenaan sebagai pengeluar utama ikan-ikan hiasan.

Yang pasti bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chepir itu kini sudah mula melihat kilauan ikan emas bermain-main di dalam ratusan kolam ikan ternakan yang diusahakannya. Beliau bersama para peserta projek itu kini mengendalikan 314 buah kolam konkrit dan 19 buah kolam tanah, yang di dalamnya anak-anak ikan emas atau nama saintifiknya “Carassius Auratus” sudah mula membesar.

Mereka yang sebelum ini pernah mengikuti kursus dan latihan amali mengenai ternakan ikan hiasan anjuran Jabatan Perikanan di Perak, kini tidak lagi sabar untuk melihat hasil tuaian pertama mereka sebelum akhir tahun ini.

Jabatan Perikanan dalam kertas cadangan projek itu meletakkan sasaran pengeluaran ikan hiasan daripada projek itu sebanyak 960,000 ekor setahun, menghasilkan pendapatan kira-kira RM960,000 berasaskan harga pasaran RM1 seekor.

Projek itu dibangunkan di bawah program Industri Kecil dan Sederhana (IKS) daerah Sik pada 2004, manakala kerja-kerja membangunkan prasarananya bermula tahun lepas, dan ia mula beroperasi beberapa bulan lalu.

Kawasan itu dipilih berdasarkan kesesuaian fizikalnya termasuk kualiti tanah, kemudahan jalan raya serta sumber air yang mudah diperolehi daripada Sungai Semeliang. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang pernah beberapa kali meninjau projek itu memberitahu Bernama, projek itu antara lain akan berupaya membebaskan para pesertanya daripada belenggu kemiskinan, dan menurutnya banyak lagi projek ekonomi berasaskan pertanian sedang dirancang di daerah itu.

Sik, daerah terbesar di Kedah dengan keluasan 1,634.6 km persegi adalah antara daerah yang dikenalpasti termiskin di Kedah dan usaha membebaskan para penduduk daripada kitaran ganas kemiskinan sedang giat diusahakan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan berada di Sik Khamis ini akan turut melancarkan “blue print” pembangunan usahawan tani di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya.

Beliau juga dijadualkan untuk menyampaikan anugerah pengusaha industri asas tani daerah Sik pada majlis itu, sebelum melawat projek ternakan ikan hiasan di Bendang Man.

Siti Fatimah sudah pasti adalah antara penduduk tempatan yang tidak sabar-sabar ingin menyambut kehadiran perancang kemajuan negara itu.

– BERNAMA

No comments:

© Copyright 2007 http://harizamrryblog.blogspot.com Corp. All rights reserved
Get Started On Blogger!, Join for free, and view profiles, connect with others, blog, rank music, and get much more!